Malaysia-China sepakat kekal keamanan, keselamatan di Laut China Selatan
Malaysia dan China bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman, melalui perbincangan dan rundingan mesra.
Menurut kenyataan bersama kedua buah negara, langkah itu selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.
Dalam menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di wilayah itu, kedua-dua pihak bakal melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin.
“Kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Kod Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan dan substantif.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk menyokong usaha memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain, sambil menyumbang kepada usaha global mengenai pelucutan senjata, non-proliferation dan penggunaan tenaga nuklear secara aman, selaras dengan Perjanjian mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” menurut kenyataan tersebut.
BACA LAGI: Perjanjian sempadan maritim: Kerajaan jamin pertahan kedaulatan dan kepentingan negara
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang melalui kenyataan itu juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan meningkatkan pertukaran dan kerjasama mengenai keselamatan negara.
Kedua-dua pemimpin turut mengulangi tentangan terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan penguatkuasaan undang-undang dan antikeganasan, bersama-sama menangani jenayah rentas sempadan dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.