Hubungan erat Malaysia-China sejak pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka dahulu – PM Anwar
Hubungan erat Malaysia dan China dibina atas dasar sikap saling menghormati menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, hubungan itu sudah terjalin sejak pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka dahulu lagi.
“Ramai rakan saya di luar negara mempersoalkan sama ada hubungan dua hala kita yang dipertingkatkan dengan China boleh merugikan Malaysia, terutamanya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang lebih kecil.
“Saya memberi jaminan bahawa hubungan kita (Malaysia – China) berakar kukuh dalam sikap saling menghormati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengenai perbincangan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang baru-baru ini, Anwar berkata, pihaknya menegaskan semula kepercayaan terhadap sifat kepimpinan China yang mesra, berbudi bahasa dan menghormati Malaysia.
“Walaupun bertubi-tubi soalan dan naratif, terutamanya dari Barat, saya telah menyaksikan pemahaman yang mendalam dan penghayatan perbezaan budaya daripada China.
“Sepanjang perbincangan kami, tidak ada tanda-tanda keangkuhan atau merendahkan diri. Kami menangani isu berbangkit sebagai rakan kongsi yang sama dan rakan yang dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan untuk meyakinkan masyarakat Malaysia dan antarabangsa bahawa hubungan Malaysia dengan China dibina atas rasa hormat dan persahabatan yang tulus.
“Kami kekal komited untuk memupuk dan mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan China,” katanya.