Kerajaan jamin bantu atasi isu air Sungai Bakap – Akmal Nasir
Kerajaan akan tetap bertanggungjawab untuk membantu penduduk Sungai Bakap dalam isu air yang membelenggu sejak beberapa tahun lalu walau apapun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau akan tetap turun ke Sungai Bakap untuk menyelesaikan masalah berkenaan selepas pilihan raya selesai demi tanggungjawab kerajaan.
“Bagi saya menang atau kalah (PRK Sungai Bakap) komitmen kita untuk bantu (penduduk) Sungai Bakap kita akan teruskan.
“Kalau tak pilih calon kita jadi wakil rakyat pun saya bagi jaminan dekat orang Sungai Bakap, saya (akan) turun bantu. Jangan risau, saya tak ugut (apatah lagi) sudah dapat kelulusan dasar (berhubung langkah-langkah mengatasi isu air Sungai Bakap).
“Cuma jika (pengundi Sungai Bakap) pilih wakil (kita) akan lebih (senang) untuk memahami keadaan (semasa) yang wakil kita boleh bantu (dari segi) memastikan pelan mitigasi (yang dirancang) mengikut masa ditetapkan dan dapat turun dengan saya untuk pastikan projek berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Dewan MPKK Sungai Kechil, di Nibong Tebal pada Ahad.
Akmal Nasir berkata, beliau menyedari Perikatan Nasional (PN) kini menggunakan isu air sebagai modal kempen dan ada pemimpin parti berkenaan sebelum itu mempolitikkannya sehingga menjadi isu perkauman.
“Di sini (Sungai Bakap) kita akui ada cabaran nak pastikan air sampai kerana air ini bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan bila nak datang ke kawasan Seberang Perai Selatan jaraknya lebih 50 kilometer (km).
“Selepas itu, air bukan boleh terus sampai ke sini (Sungai Bakap), kena singgah masuk kawasan lain dulu antaranya kawasan industri.
“Ketika lawatan saya ke Pulau Pinang pada awal Januari lalu ketika itu kerja-kerja penukaran injap yang menyebabkan bekalan air negeri ini terjejas sementara, Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) telah menerangkan cabaran dihadapi. Pulau Pinang ada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), ada juga langkah mitigasi sedang dibuat dan kini menunggu hasrat Projek Air Perak Pulau Pinang direalisasikan,” katanya.