Nasional

Kerajaan teliti kenakan hukuman lebih berat kes curi kabel komunikasi – Fahmi

Kerajaan sedang meneliti akta tertentu bagi mempertimbangkan hukuman lebih berat untuk kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi,Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, ketika ini proses dapatan, maklum balas dan beberapa perkara dalam bidang kuasa atau di bawah Kanun Keseksaan sedang diambil kira sebelum ia dikuatkuasakan.

“Pada masa sama pengalaman di negeri-negeri tentang kecurian kabel atau vandalisme ini akan kita selaraskan respons supaya satu penyelesaian menyeluruh dapat kita usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menonton persembahan Teater Perdana Haji Murat yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Kuala Lumpur pada Rabu.

Fahmi ditanya mengenai perkembangan proses untuk menguatkuasakan hukuman itu yang dilapor akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ditanya mengenai tempoh pelaksanaannya, Fahmi berkata beliau berharap beberapa perkara dapat diluluskan di peringkat jemaah menteri untuk dibawa ke sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

“Harapan saya bagi sesetengah perkara sekiranya diluluskan di peringkat jemaah menteri mungkin dalam sidang Parlimen ini tetapi jika tidak, dalam sidang yang akan datang,” katanya.

Pada 17 Jun lalu, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbangkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi untuk membendung aktiviti itu yang semakin berleluasa ketika ini.

Related Articles

Back to top button