Semasa

Kerajaan usaha pastikan suasana kerja sihat, selamat dan lebih manusiawi

Kerajaan sedang berusaha melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai suasana kerja yang sihat, selamat dan lebih manusiawi pada masa akan datang.

Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu termasuk meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 11 Jun lalu yang selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 bermula 1 Jun lalu.

“Dulu akta ini hanya terpakai untuk 10 sektor ekonomi, sekarang ia terpakai untuk semua sektor ekonomi bagi memastikan satu keadaan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat,” katanya kepada pemberita pada program Neurodiversity Inclusion Impact, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Khamis.

BACA LAGI: Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024

Sementara itu jelasnya, pada tahun ini kementeriannya dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melatih lebih 10,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan di syarikat swasta dan jabatan kerajaan.

“Ini bagi memastikan tempat kerja kita selamat dan sihat bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mengimbangi kesihatan mental,” katanya.

Selain itu, penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 bermula 1 Jan 2023, antara lain memasukkan peruntukan berkaitan antidiskriminasi dan aturan waktu kerja anjal juga memastikan persekitaran dan suasana kerja yang sihat.

Related Articles

Back to top button