Selangor beri jaminan pembinaan insinerator ikut prosedur
Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan akan memastikan cadangan projek pembinaan insinerator (WTE) Sultan Idris Shah yang dirancang di Batu Arang mematuhi segala prosedur dan undang-undang ditetapkan melibatkan semua laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan sosial (SIA).
Jaminan itu dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim pada media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JKSTP) di Selayang pada Jumaat.
“Saya cuma nak bagi tahu kita akan mengikut proses yang betul dan tidak akan melanggar undang-undang walaupun Pengurusan Sisa KDEB adalah milik syarikat di bawah kerajaan negeri Selangor.
“Usah khuatir dan kita beri banyak ruang pada rakyat untuk suarakan dan pembangkang juga akan gunakan isu ini di peringkat dewan negeri,” katanya.
Terdahulu Suee Lim menerima memorandum penduduk di sekitar Batu Arang yang membantah penukaran status penggunaan tanah untuk pembinaan insinerator.
Mengulas mengenai jangkaan keputusan perbicanganmengenai pembinaan insinerator itu beliau berkata, ia mungkin mengambil masa selama dua bulan kerana kini masih berada di peringkat awal.
BACA LAGI: Selangor buat persiapan awal hadapi fenomena La Nina
“Ia akan ada peringkat perubahan untuk perundingan sahaja dan apabila selesai, kita akan bawa ke peringkat EIA yang mungkin ambil masa lebih kurang setahun.
“Kemudian EIA akan ada slot bantahan, melibatkan peringkat bahagian alam sekitar dan sekiranya perkara itu tidak dapat atau tidak diluuskan maka ia tidak akan jadi (pembinaan) juga,” jelasnya.