Pilihanraya

Kerajaan Perpaduan tidak pernah abai kedudukan Islam sebagai agama rasmi – Asyraf Wajdi

Kepimpinan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengabaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan agama itu terjaga.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan pembangkang kononnya kedudukan Islam kini terabai di bawah Kerajaan Perpaduan tidak berasas, malah sengaja ditimbulkan untuk meraih pengundi ketika pilihan raya.

“Saya sebut ini kerana saya perhatikan ceramah-ceramah puak di sebelah sana setiap malam, isu yang dimainkan, seolah-olah Islam tercabar, keistimewaan orang Melayu dicabar.

“… tetapi, selagi kita wujudkan Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada 19 parti politik yang menghormati sesama lain, insya-Allah kita akan pastikan negara ini terus prihatin dengan memahami realiti ini (kedudukan agama Islam),” katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan di Pusat Daerah Mengundi Tasek Junjong, Simpang Ampat di Nibong Tebal pada Jumaat.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dicabar oleh Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis itu kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Related Articles

Back to top button