Anwar

PM Anwar lancar projek Kereta Kabel Bukit Bendera berteknologi tinggi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan projek Kereta Kabel Bukit Bendera, di Georgetown Pulau Pinang, yang akan menjadi laluan pengangkutan awam kedua ke puncak bukit itu selain tren funikular.

Beliau berkata, permulaan projek berkenaan menandakan langkah penting dalam usaha negeri untuk meningkatkan infrastruktur pelancongan Pulau Pinang, memperbaiki ketersambungan dan akses ke Bukit Bendera, di samping mengubah destinasi bersejarah itu wajib dikunjungi pelancong.

“Majlis ini istimewa buat saya daripada segi nostalgia kerana pengalaman saya mendaki Bukit Bendera jalan kaki pada waktu muda dahulu. Dan sekarang seolah-olah satu pusingan saya kembali ke sini untuk merasmikan projek kereta kabel sebagai langkah kemajuan seterusnya buat Bukit Bendera.

“Sementara menghargai usaha kerajaan negeri dengan kerjasama swasta untuk membangunkan infrastruktur yang canggih dengan teknologi moden yang tinggi sambil memelihara alam sekitar, saya mahu tekanan aspek kebudayaan Pulau Pinang juga perlu diterapkan dalam rekabentuk senibina bangunan ini.

“Ini penting untuk kita terus memelihara keunikan kebudayaan Pulau Pinang sementara memacu pembangunan yang pesat demi kemudahan dan keselesaan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong Kim Sing dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon.

Ujar Anwar lagi, ia antara beberapa projek berimpak tinggi yang mampu memacu pembangunan Pulau Pinang sebagai hub pelancongan dan sektor pembuatan di rantau Asia Tenggara.

“Sekarang kita rasmikan projek kereta kabel ini yang akan siap dibina pada tahun 2026.

“Projek Pembesaran Lapangan Terbangan Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas kita jangka akan bermula tahun ini juga.

“Projek LRT (Transit Aliran Tinggi) juga telah dimulakan. Jadi saya ucapkan tahniah kepada Chow kerana sedang membawa Pulau Pinang dalam landasan yang betul,” katanya lagi.

Projek mercu tanda yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera dengan kerjasama Hartasuma yang dianugerahkan hak konsesi selama 30 tahun menerusi Kerjasama Awam-Swasta yang berasaskan kerja reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pindah.

Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi di Taman Botani dan berakhir di puncak Bukit Benderam di belakang Balai Polis Bukit Bendera dengan laluan sepanjang 2.7 kilometer dilengkapi 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang 10 minit.

Related Articles

Back to top button