PM Anwar jamin peluang lanjut pendidikan untuk pelajar cemerlang tanpa kira kaum
Kerajaan memberi jaminan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas diberi peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu.
Bagaimanapun menurut perdana menteri, kuota sedia ada untuk pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tidak terjejas dan akan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebelum ini, apabila anak-anak lulus SPM (keputusan cemerlang) yang kemudian berdepan keterbatasan ruang pendidikan maka timbul masalah. Jemaah Menteri dengar keluhan rakyat dan melihat dan mengkaji cadangan.
“Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan.
“Ini adalah satu keputusan berani yang dibuat Kerajaan Madani,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir pada acara itu adalah Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sementara itu menurut Anwar, perincian mengenai perkara itu bakal dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
BACA LAGI: Kerajaan salur RM10 juta bantu tingkat pendidikan, potensi golongan pelaut
Pada Nov tahun lalu, seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja dari Utem menyeru kerajaan melaksanakan meritokrasi dalam sistem pendidikan dan tidak meminggirkan golongan minoriti di negara ini.
M Nahvin dalam ucapannya ketika menerima anugerah tersebut menceritakan dia diterima masuk ke program matrikulasi, sedangkan rakannya yang juga berketurunan India tidak diterima menyertai program berkenaaan.