Global

Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia untuk misi pengaman di Palestin – PM Anwar

Malaysia bersedia bekerjasama dengan negara jiran Indonesia bagi penugasan pasukan pengaman ke Palestin jika diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto, yang juga Menteri Pertahanan negara itu pada Isnin melalui perbualan telefon.

“Saya menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia, dan kolaborasi yang boleh diperluaskan ke peringkat serantau Asean,” kata Anwar sebagai mengulas perbualan itu.

Sementara itu menurut perdana menteri, beliau dan Prabowo sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini serta membawa visi, kolaborasi dan keamanan serantau serta sejagat.

Beliau juga menitipkan kesyukuran atas kejayaan pembedahan yang dijalani Probowo baru-baru ini.

“Turut mendoakan Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan, selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Prabowo menjalani pembedahan untuk pemulihan kecederaan yang dialami ketika bertugas dalam dunia ketenteraan sebelum ini.

BACA LAGI: Malaysia-Indonesia komited kukuh kerjasama pertahanan

Di akhir perbualan tersebut, perdana menteri turut menzahirkan harapan supaya pilihan raya Indonesia yang bakal berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November tahun ini berlangsung dengan baik dan dipermudahkan.

“Moga segala persediaan untuk pelantikan Prabowo sebagai Presiden pada 20 Oktober 2024 akan berjalan dengan lancar,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button