Parlimen

Kerajaan bakal pinda Akta Perikanan, beri keadilan untuk semua pihak – Menteri

Kerajaan akan meminda Akta Perikanan 1985 pada sesi Parlimen akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat berkata, akta yang wujud lebih 20 tahun itu perlu dipinda bagi memberi keadilan untuk semua pihak terutama dalam isu membabitkan hal ehwal nelayan kecil dan besar, lesen dan lokasi tangkapan hasil laut.

“Kita akan pinda Akta Perikanan secara menyeluruh pada sesi Parlimen akan datang. Akta Perikanan ini lama (wujud) lebih 20 tahun.

“Pindaan merangkumi hal nelayan kecil dan nelayan pukat besar, bot besar serta daerah penangkapan (hasil laut) serta sebagainya.

“Ia supaya tindakan dapat diambil dengan baik. Kita cuba memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen bertanyakan apakah kementerian bercadang menyemak semula syarat pemberian lesen kategori nelayan kecil bagi memudahkan perolehan lesen kepada mereka.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya turut menjalankan operasi pemutihan lesen sampan yang dijalankan setiap tahun.

BACA LAGI: Menteri KPKM sertai operasi pembenihan awan di Kelantan

Pada masa sama, pihaknya juga meluluskan lesen sampan membabitkan 6,000 permohonan dalam tempoh 2021 hingga 2024.

“(Pemutihan membabitkan) Antaranya ada nelayan meninggal dunia. Kita juga bincang (dalam mesyuarat) Kabinet baru-baru ini mengenai tekong. Tekong bot ini lagi tua lagi berpengalaman.

“Kadang-kadang umur 60 tahun kita suruh dia bersara, tetapi lagi lama di laut, lagi berpengalaman dan kita perlukan tekong seperti ini. Jadi lesen ini, pemutihan sedang dibuat. Akta menyeluruh akan dipinda pada mesyuarat (Parlimen) akan datang,” jelas Mohamad.

Related Articles

Back to top button