Global

Kedatangan orang terkaya dunia Elon Musk, pacu perubahan baharu kepada ekonomi Malaysia

Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk merupakan satu lembaran baharu kepada lanskap pembangunan ekonomi Malaysia.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata ia merupakan bentuk pemacu perubahan yang sangat diperlukan dalam proses reformasi ekonomi yang lebih progresif, inklusif, moden dan mampan.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan Tesla Inc dan Space X ini dijangka akan memainkan peranan sebagai ‘anchor’ kepada penyelesaian masalah ekonomi yang membelenggu rakyat pada ketika ini.

Oleh itu, katanya ia dijangka dapat menyelesaikan masalah terkait kadar pertumbuhan gaji yang mendatar, kadar pertumbuhan kos sara hidup yang meningkat lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pendapatan, masalah guna tenaga tidak penuh (underemployment), graduan menganggur dan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah.

“Untuk mereformasi ekonomi kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, ianya perlulah dipacu oleh aktiviti inovasi dan mempunyai tahap produktiviti yang tinggi.

“Jadi, kedatangan Elon Musk sememangnya akan menjadi pencetus kepada permulaan sebuah perjalanan baharu dalam mereformasi ekonomi kita.

“Ia boleh dilihat sebagai permulaan kepada ‘the great reset’ kepada ekonomi Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Irwan Shah berkata, kerajaan perlu memainkan peranan penting bagi mewujudkan satu bentuk hubungan yang simbiotik antara kerajaan Malaysia dengan Elon Musk.

“Ini perlu digerakkan segera, seperti meningkatkan perbelanjaan dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), terutamanya aktiviti R&D berkaitan dengan teknologi diperingkat permulaan yang memerlukan kos yang tinggi serta berisiko yang tinggi untuk memastikan peralihan teknologi berlaku yang akhirnya akan meningkatkan tahap produktiviti negara.

“Dengan peningkatan dalam tahap produktiviti, skop untuk peningkatan dalam pertumbuhan kadar upah negara juga akan menjadi semakin cerah.

“Begitu juga dengan usaha untuk memperkasakan lagi tahap kekuatan permintaan domestik negara dalam konteks kecenderungan untuk melabur dalam ekonomi domestik secara keseluruhan yang mana bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, tetapi juga dapat menarik minat pekerja mahir untuk bekerja di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, usaha untuk memperkasakan lagi tahap kekuatan permintaan domestik negara dalam konteks kecenderungan untuk melabur dalam ekonomi domestik secara keseluruhan, bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, tetapi juga dapat menarik minat pekerja mahir untuk bekerja di negara ini.

Tambah beliau, rakyat serta pelabur pada ketika ini mempunyai keyakinan bahawa ekonomi Malaysia berada pada landasan yang betul dan mempunyai prospek yang baik di masa hadapan.

“Maknanya, dalam jangka masa panjang, rakyat dan pelabur perlu melihat usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini akan dapat meningkatkan prestasi ekonomi dengan pertumbuhan ekonomi yang menjanjikan kemakmuran dan kesejahteraan dalam hidup mereka serta ekosistem perniagaan yang kondusif untuk bakal usahawan dan juga pelabur untuk membina perniagaan, perdagangan, serta pelaburan mereka dengan lebih baik di Malaysia.

“Dalam hal ini, inovasi dan juga persekitaran untuk inovasi adalah sangat kritikal. Dengan adanya inovasi, teknologi baharu yang dihasilkan haruslah juga dimanfaatkan kepada sektor-sektor lain yang kritikal seperti dalam sektor pertanian dan juga meningkatkan infrastruktur-infrastruktur digital terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan untuk melantik Elon Musk sebagai penasihat khas berkaitan dengan pembangunan teknologi baharu dan berimpak tinggi serta pembangunan dalam sektor aeroangkasa kepada kerajaan Malaysia.

Related Articles

Back to top button