200 nelayan di Selangor terima bantuan dari kerajaan negeri
Seramai 200 nelayan di negeri Selangor menikmati bantuan berjumlah RM400,000 menerusi program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan.
EXCO pertanian Ir Izham berkata, setiap mereka menerima kelengkapan menangkap ikan bernilai RM2,000 merangkumi pukat hanyut atau jaring, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.
Tambahnya, bantuan bersasar itu penting bagi memastikan nelayan dilengkapi peralatan terbaharu dan canggih sesuai keperluan semasa.
“Mereka ini bukan saja melaksanakan tugas mencari pendapatan untuk keluarga tetapi juga antara penyumbang sumber makanan untuk rakyat dalam memastikan keterjaminan makanan negeri dan negara.
“Tentu saja keperluan semasa mereka termasuklah pemasaran kita ambil perhatian serius termasuk menurunkan tukun di beberapa kawasan seperti Batu Laut dan Bagan Nakhoda Omar dengan kos sekurang-kurangnya RM350,000 untuk memastikan mereka dapat menjana pendapatan lebih baik,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan simbolik penyerahan insentif itu di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut di Kuala Langat pada Selasa.
Penerima melibatkan lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Sungai Besar dan Kuala Selangor.
Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang dilaksanakan bagi memperkukuh industri pertanian dan agro Selangor sehingga 2025.
BACA LAGI: Selangor buat persiapan awal hadapi fenomena La Nina
PeTA antara lain sebagai garis panduan untuk memajukan sektor pertanian secara holistik dan sistematik dengan matlamat menjamin bekalan makanan dan meningkatkan pendapatan petani, penternak serta nelayan.
Sementara itu menurut Ir Izham, pihaknya juga menyalurkan bantuan berdasarkan keperluan nelayan, termasuk bantuan peralatan lain seperti peranti sonar untuk mengesan lokasi ikan.