Semasa

Kerajaan tak kompromi aspek keselamatan dalam pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa

Aspek keselamatan dalam pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) sama sekali tidak akan dikompromi, tegas Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, walaupun Malaysia mahu pelancong dari luar negara datang ke negara ini, namun kerajaan turut mengambil langkah ketat kemasukan mereka, termasuk mewajibkan mereka mengisi Malaysia Digital Arrival Card supaya maklumat pengembara diketahui dengan lebih jelas.

“Kita akan ketatkan kawalan pintu masuk. Kita juga mengenal pasti 224 lokasi hotspot warga asing,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen bertanyakan apakah jaminan pelaksanaan PLV tidak menggugat keselamatan rakyat dan negara, sedangkan peningkatan pekerja asing tanpa dokumen telah mencecah enam juta pada 2022 (Kajian KRI oleh Nixon) termasuklah mereka yang menyalahguna kemudahan itu untuk tinggal lebih lama di Malaysia.

Mengulas lanjut perkara itu Saifuddin berkata, sejak 1 Jan lepas sehingga kini 7,975 operasi dilaksanakan dengan 76,477 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu 20,207 daripadanya yang didapati tidak mempunyai dokumen sah, dihantar pulang ke negara asal.

“Depot tahanan (Imigresen) kita ada 19 tetapi kapasiti sekarang ada 13,000 (jumlah yang ditahan)…jadi bermaksud under capacity walaupun kita tangkap ini lebih 20,000 kita hantar balik dengan kerjasama kedutaan. Kita juga tahan majikan, mereka tak akan masuk kalau majikan tak menggajikan mereka.

“Majikan menggajikan mengikut undang-undang tak ada masalah, tapi (yang) bawa masuk curi-curi tanpa dokumen, (adalah sebanyak) 465 majikan juga kita tahan,” tambahnya.

BACA LAGI: PM Anwar lulus RM14 juta untuk ICQS Wang Kelian di Perlis

Melalui PLV, warganegara China dan India diberi kemudahan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari hingga 31 Dis tahun ini.

Inisiatif itu bertujuan menjana hasil pendapatan negara dan akan dilaksanakan dengan penambahbaikan kemudahan imigresen sedia ada yang telah dinikmati pengembara ke Malaysia, termasuk dari Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Asia Barat.

Related Articles

Back to top button