Teknologi

Teknologi 5G penting untuk pacu pembangunan ekonomi digital negara – Fahmi

Teknologi 5G penting bagi memacu pembangunan ekonomi digital negara terutama dalam mengembangkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, teknologi itu akan mewujudkan perkhidmatan dan industri baharu, mencipta model perniagaan baharu serta meningkatkan produktiviti dan kecekapannya, merentasi pelbagai titik sentuh berlainan yang sekaligus bakal meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pembangunan 5G seiring dengan matlamat kerajaan untuk melihat pertumbuhan inklusif dan memastikan digitalisasi memberikan manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Terdahulu beliau hadir ke majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas mengenai MoU itu beliau berkata, ia bertujuan untuk membolehkan sektor vertikal serta PKS untuk memanfaatkan penggunaan teknologi 5G.

MCMC jelasnya akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan bagi persediaan menuju integrasi 5G, selain menekankan kepentingan memanfaatkan kemajuan teknologi 5G kepada industri terlibat.

Manakala MIDA akan berperanan untuk mengenal pasti syarikat berpotensi yang dapat memanfaatkan teknologi 5G dalam memajukan perniagaan masing-masing.

BACA LAGI: Malaysia perlu bina ekosistem kecerdasan buatan, elak keciciran

“Pendekatan tersebut akan dapat memastikan penerimagunaan 5G lebih pantas dan efisien serta memenuhi keperluan pelbagai sektor. Melalui usaha kolektif ini, kerajaan akan membuka potensi penuh 5G, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.

“Saya berharap dengan termeterainya MoU ini, akan membuka lembaran baharu kepada sektor vertikal dan PKS di negara ini agar lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dalam menguruskan perniagaan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button