Negeri

Selangor rekod nilai pelaburan asing sehingga RM100.38 bilion sejak 2008

Negeri Selangor merekod nilai pelaburan asing sebanyak RM100.38 bilion menerusi sektor pembuatan dan pengilangan bagi tempoh 2008 hingga Mac tahun ini.

Exco Pelaburan Selangor, Ng Sze Han berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai pelaburan terbabit menawar 169,775 peluang kerja meliputi 1,955 projek sepanjang tempoh berkenaan.

“Pada waktu ini Invest Selangor Berhad sedang memantau 63 projek pelaburan asing yang kini dalam fasa akhir sebelum memasuki proses pemeteraian perjanjian sewa atau beli.

“Projek-projek tersebut telah melalui fasa lawatan tapak. Anggaran keseluruhan potensi pelaburan kira-kira RM8 bilion,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, pada Jumaat.

Pada Mac lalu, MIDA mengumumkan pelaburan direkodkan Selangor tahun 2023 adalah sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM45 bilion.

Data agensi itu turut menunjukkan projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan daripada RM19.3 bilion pada tahun lalu berbanding RM12.2 bilion pada 2022.

Berikutan pencapaian membanggakan terbabit, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyasarkan nilai pelaburan tahun ini sebanyak RM50 bilion susulan perkembangan ekonomi yang semakin baik.

Related Articles

Back to top button