ekonomi

K’jaan beri tumpuan pastikan penyasaran subsidi diesel capai objektif – Kementerian Ekonomi

Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95, kata Kementerian Ekonomi.

Bagaimanapun kementerian itu melalui satu jawapan kepada Dewan Rakyat berkata, buat masa ini kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan kepada penyasaran subsidi diesel sehingga pelaksanaannya stabil dan mencapai objektif ditetapkan.

“Inisiatif penyasaran subsidi bahan api yang dimulakan dengan subsidi diesel dijangka dapat memastikan kemampanan ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan akibat aktiviti penyeludupan dan impak kepada kos sara hidup rakyat.

“Melalui pendekatan ini, penyasaran subsidi diesel dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion dan dapat memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) di Dewan Rakyat yang mahu tahu bila subsidi bersasar akan dilaksanakan dan apakah mekanisme pelaksanaan terbabit.

Kementerian Ekonomi memaklumkan, berdasarkan tanggungan yang besar bagi subsidi bahan api sedia ada, terdapat keperluan untuk kerajaan menyasarkan semula subsidi berkenaan.

“Usaha itu juga dijangka dapat membantu negara mencapai sasaran defisit fiskal antara 3.5 peratus hingga 3.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2025,” katanya.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar langkah besar selamatkan ekonomi negara

Kepada soalan berlaku pertindihan di antara program Pangkalan Data Utama (PADU) dan Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI) kementerian itu menjelaskan, program yang sedang dilaksanakan saling berhubung kait dan mendokong matlamat kerajaan.

“Berdasarkan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam merangka serta melaksanakan agenda pembangunan negara, program-program yang sedang dilaksanakan adalah saling berhubung kait dan mendokong matlamat kerajaan.

“Pada masa kini, PADU masih lagi dalam peringkat penambahbaikan dengan pengintegrasian data akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Related Articles

Back to top button