Semasa

KPM saring semula data PAJSK calon SPM tercicir markah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksana proses saringan semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tercicir markah.

Kementerian itu melalui satu kenyataan pada Ahad berkata, data tersebut akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

“KPM mengambil serius isu calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir markah PAJSK.

“Tindakan segera telah diambil untuk menyaring semula data PAJSK calon yang tercicir,” menurut kenyataan itu.

Media baru-baru ini melaporkan isu markah PAJSK lepasan SPM yang kosong.

Ia telah mengakibatkan ada pelajar gagal dalam permohonan untuk meneruskan pengajian ke institut pendidikan tinggi atau tawaran yang diperoleh bukan pilihan pertama.

BACA LAGI: KPM ajak masyarakat beri cadangan garis pelan pendidikan baharu negara

Untuk rekod, pelajar lepasan SPM yang ingin memohon melanjutkan pengajian melalui sistem UPU, pengiraan markah merit akan merangkumi markah 10 peratus kokurikulum selain keputusan peperiksaan.

Sementara itu KPM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai perkara berbangkit itu dan melaksanakan langkah intervensi bagi menyelesaikannya dan memastikan isu sama tidak berulang pada masa akan datang.

Related Articles

Back to top button