Negeri

Rangkaian 5G: Selangor teliti teroka peluang baharu untuk manfaat rakyat

Liputan rangkaian 5G di Selangor sudah mencapai 96.1 peratus dan dijangka mencapai liputan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap (EXCO) pembudayaan inovasi Dr Fahmi Ngah berkata, pembinaan rangkaian 5G kini tertumpu di kawasan mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia menetapkan Selangor mencapai liputan 5G sepenuhnya tahun depan dan setakat ini ada 38 tempat ada masalah seperti putus panggilan.

“Selangor berada di landasan tepat untuk capai sasaran ditetapkan. Beberapa perkara sedang ditambah baik supaya rangkaian liputan diperbaiki untuk masa akan datang,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sebelum ini menjelaskan Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan 1,668 daripada 1,845 sasaran tapak liputan 5G di negeri Selangor.

Dr Fahmi Ngah sementara itu berkata, dengan liputan sepenuhnya perkhidmatan itu tahun hadapan, Kerajaan Negeri bakal mempertimbang peluang-peluang baharu untuk diteroka.

BACA LAGI: Selangor peruntukkan RM108 juta, buka permohonan baharu program BINGKAS

“Jika liputan mencapai 5G sepenuhnya, sudah semestinya ada kelebihan pada pengurusan Kerajaan Negeri dan sekaligus dapat beri perkhidmatan baik kepada rakyat.

“Oleh sebab itu, kita sedang meneliti antaranya tapak-tapak industri yang sudah memperoleh 5G yang boleh diberi jaminan kepada pelabur asing untuk melabur khusus syarikat automasi dan robotik,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button