Semasa

Fadhlina beri jaminan tiada pelajar cemerlang tercicir ke program Matrikulasi

Menteri Pendidikan memberi jaminan isu pelajar cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian akan diselesaikan segera.

Fadlina Sidek melalui satu kenyataan berkata tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir dan pihak kementerian menyeru semua pelajar dan ibu bapa supaya tidak risau mengenai perkara itu.

“Proses rayuan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi KPM sudah selesai dan keputusannya diumumkan pada hari ini.

“Saya mengambil maklum masih terdapat pelajar cemerlang 10A SPM yang memohon, namun belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.

“Jangan risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir, beri sedikit masa dan saya berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat diselesaikan,” katanya melalui kenyataan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu memberi jaminan bahawa pentadbirannya akan memastikan semua calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas dijamin tempat untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Perkara itu yang diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu melibatkan semua pelajar tanpa mengira kaum.

Bagaimanapun tegas Anwar, keputusan itu tidak akan menjejaskan kouta bagi pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

BACA LAGI: Cadang silibus anti dadah kepada pelajar sekolah wajar disokong – Dr Sathia

Sementara itu Fadhlina menegaskan, keputusan kerajaan itu adalah satu langkah berani memastikan tiada yang terpinggir, justeru kementeriannya bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengorak langkah dan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peluang untuk melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM.

“Iltizam kerajaan MADANI untuk memastikan hak Bumiputera terus dipertahankan juga terbukti menerusi pengekalan kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM,” katanya.

Related Articles

Back to top button