Rakyat Malaysia diseru junjung titah Agong mengenai ada guna media sosial
Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M yang menyentuh mengenai adab menggunakan media sosial.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di Facebook berkata, antara titah Seri Paduka Baginda ialah mengingatkan semua rakyat agar tidak menjadikan media sosial tempat berbalah atau bertengkar sehingga membawa perpecahan yang tidak mememangkan sesiapa.
“Sultan Ibrahim juga bertitah supaya rakyat tidak membuka aib sesiapa atau menularkan perkara memalukan kerana akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.
“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama.
“Semoga dengan kedatangan tahun baharu 1446H, Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada kita semua,” katanya lagi menerusi hantaran itu.
Sultan Ibrahim pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Putrajaya pada Ahad bertitah, orang ramai hari ini berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
BACA LAGI: ‘Perpaduan hadiah paling bermakna untuk saya’ – Sultan Ibrahim
Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar yang disebar melalui media sosial.
Justeru umat Islam diingatkan supaya lebih bijak menilai mana betul dan mana yang salah, memandangkan penyebaran maklumat agama tidak tepat boleh mengundang kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.