Semasa

Kerajaan tumpu naikkan siling ekonomi, lantai pendapatan rakyat melalui Belanjawan 2025

Belanjawan 2025 harus kekal dan tertumpu kepada penanda aras yang ingin dicapai dalam kerangka Ekonomi MADANI, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mencapai usaha tersebut, ia harus bermula dengan asas meningkat dan melaksanakan pembaharuan berterusan ke arah mencapai hasrat berkenan.

“Ini yang kita tekankan mengenai menaikkan siling (peneraju ekonomi Asia) supaya penstrukturan ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan.

“Makanya daya cipta, daya saing, pendigitalan, AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan ‘reform’ dalam penjawat awam tidak boleh kita harap dengan cara dan kaedah lama untuk kita capai pendekatan baharu atau dasar baharu.

“Ini yang saya sebut menggapai di langit, dengan segala usaha dan inisiatif baharu tapi mesti berakar di bumi,” katanya.

Anwar sebelumnya hadir ke sesi libat urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan, di Putrajaya pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Sementara itu tambahnya, konsep ekonomi madani merupakan usaha menaikkan siling dimana ia berkisar ikhtiar menstruktur semula asas ekonomi.

Ikhtiar itu bagi memacu pertumbuhan, melonjak pelaburan, memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta dan berdaya saing sekaligus mengangkat Malaysia kembali sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.

BACA LAGI: Kerajaan tumpu pelaksanaan Ekonomi Madani mulai tahun ini

Sementara aspek menaikkan lantai adalah dengan meningkatkan darjat kesejahteraan hidup rakyat yang merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama sekaligus memastikan rakyat tidak terpinggir dalam merencanakan Ekonomi Madani.

Belanjawan 2025 akan bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.

Related Articles

Back to top button