Negeri

Selangor pinda enakmen sebagai usaha banteras nikah sindiket

Pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 untuk memasukkan peruntukan berkaitan individu atau ejen mempromosi pernikahan di luar undang-undang Islam negeri ini dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2026.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) sedang mengkaji pindaan enakmen itu dengan menambah peruntukan jelas berhubung perkara itu.

Katanya, turut dicadangkan supaya kenaikan hukuman bagi kesalahan berkaitan termasuk yang bersubahat dalam usaha membanteras nikah sindiket.

“Pada tahun ini saja, tujuh daripada 14 siri bengkel yang dirancang JAIS sudah dibuat bersama pihak berkepentingan bersama termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dengan nasihat pegawai syariah Pejabat Kamar Negeri, pegawai undang-undang JAIS bersama Sekretariat Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

“Perancangan selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan teknikal Jawatankuasa Undang-Undang MAIS sebelum pembentangan dalam mesyuarat MAIS, dan terakhir akan dibentang untuk sidang DUN pada tahun 2026,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan Jefri Mejan (PN-Ijok) berkaitan usaha mengekang nikah sindiket di luar negara yang dibuat tanpa kebenaran JAIS.

Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memaklumkan nikah sindiket adalah satu pernikahan yang berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan bawah kedutaan dan menyebabkan tiadanya surat perakuan nikah yang diiktiraf.

Katanya, ketika ini, tiada peruntukan khusus diperuntukkan berkaitan nikah sindiket dalam enakmen.

“Namun, peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan mengikut Seksyen 124 Berpoligami Tanpa Kebenaran Mahkamah dan Seksyen 40 (2) Kesalahan berhubung Akad Nikah Perkahwinan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sudah diguna pakai untuk membendung kesalahan-kesalahan dalam aktiviti nikah sindiket ini.

“Harus saya maklumkan juga hukuman yang boleh dikenakan antaranya RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Related Articles

Back to top button