Parlimen

Kerajaan beri jaminan tidak berlaku ketirisan, kecurian data pengguna MyDigital ID – Menteri

Kerajaan memberikan jaminan tidak berlaku ketirisan atau kecurian data pengguna dalam sistem Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sistem berkenaan tidak menyimpan data peribadi pengguna.

Jelasnya, kerajaan juga memperketatkan undang-undang sedia ada sebagai langkah kawalan aspek kecurian dan ketirisan data.

“Kerajaan sudah mengambil langkah-langkah untuk mengetatkan lagi undang-undang yang sedia ada untuk kita mengawal aspek kecurian dan ketirisan data.

“Berkaitan dengan model yang digunakan bagi membangunkan MyDigital ID, ianya tidak menyimpan data peribada pengguna dan ini adalah strategi utama kepada jaminan keselamatan untuk kita dapat mengelakkan sebarang ketirisan atau kecurian data ataupun kecurian identiti pengguna.

“Itu juga aspek yang penting tidak mahu identiti-identiti pengguna itu dicuri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Gobind berkata, setakat 10 Julai 2024, sebanyak 465,924 pengguna termasuk penjawat awam mendaftar sistem terbabit.

Katanya, bagi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, kios-kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 199 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negeri di Malaysia.

Di samping itu, ujarnya pihak MIMOs Berhad akan menyebarluas pelaksanaan MyDigital ID kepada pelbagai demografi rakyat Malaysia di bandar serta di luar bandar secara berfasa.

Related Articles

Back to top button