Nasional

Malaysia beri sumbangan tambahan bernilai RM4.66 juta kepada UNRWA

Malaysia memberi sumbangan tambahan berjumlah AS$1 juta (RM4.66 juta) kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Kementerian Luar, dengan sumbangan terbaharu itu, jumlah keseluruhan bantuan Malaysia kepada UNRWA adalah sebanyak AS$5.2 juta (RM24.27 juta) sejak November 2023.

“Jumlah ini adalah tambahan kepada komitmen negara untuk menyumbangkan AS$200,000 (RM933,803) setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

“Malaysia tekad menyokong UNRWA dan bersedia bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pemegang taruh lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin,” katanya pada Sabtu.

Sumbangan itu bersifat sekali sahaja dan diumumkan ketika Persidangan Pemberian Sumbangan UNRWA yang diadakan di PBB di New York, pada Jumaat.

Melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), Malaysia juga menyumbang pelbagai inisiatif kemanusiaan, termasuk pemberian bantuan perubatan, makanan, pengurusan sanitasi dan kebersihan air.

Selain itu, sumbangan bantuan juga membabitkan penyaluran bekalan air bersih dan peningkatan kemudahan perubatan untuk rakyat Palestin.

Sehingga 28 Jun lalu, kerajaan menerima sumbangan berjumlah RM98,828,028.83 dan daripada jumlah itu, RM34,992,378.10 disalurkan kepada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi antarabangsa antaranya PBB.

Related Articles

Back to top button