Anwar

Guru bermasalah, cuai perlu dikecualikan kenaikan ‘time-based’ – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, guru yang cuai, langgar disiplin dan prestasi lemah harus dikecualikan daripada kemudahan kenaikan pangkat secara “time-based”.

Beliau berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara “time-based” namun menegaskan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin, kemudahan itu akan dibatalkan.

“Kalau disiplin (guru) lemah, kalau dalam setahun tak pergi sekolah banyak kali, saya nak batalkan (time-based).

“Jadi kita harus teliti, tapi saya percaya 90 peratus tak ada masalah,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), di Bangi, Selangor pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.

Anwar berkata, tugas guru itu adalah untuk mendidik manusia sehingga adanya elemen kemanusiaan dalam diri masing-masing, maka seseorang itu mesti mempunyai rasa kasih dan sayang kepada guru.

“Saya sampai sekarang baik di Sekolah Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam Boys School, Malay College Kuala Kangsar dan Universiti Malaya (UM), saya tak pernah lupa dan penghormatan (terhadap) sumbangan guru kerana tanpa mereka selain ibu bapa, tidak mungkin (saya) bertapak jika tidak disemai semangat itu,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu kebajikan para guru harus dipertahankan dan pada masa yang sama harus melakukan perubahan.

“Malaysia punyai keupayaan dan kapasiti untuk angkat martabat bangsa dan negara, contoh yang baik ekonomi, politik, sosial dan pendidikan, kerana kekuatan asas ada.

“Kalau nak meningkat tidak boleh dengan budaya lembab macam sekarang, mesti kena tegas,” katanya.

Related Articles

Back to top button