Negeri

Rafizi lihat potensi jadikan Terengganu negeri peneraju sektor CCUS

Kementerian Ekonomi menjangkakan sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) akan menjadi sumber baharu pendapatan negara bermula tahun hadapan.

Menterinya Rafizi Ramli ketika mengulas perkara itu berkata, Rang Undang-Undang mewujudkan industri tenaga diperbaharui tersebut akan dimuktamadkan di Parlimen pada November depan.

“Itu (Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon) akan melahirkan industri CCUS di Malaysia.

“Perbincangan dengan pelabur-pelabur dan pelanggan antarabangsa yang akan menggunakan CCCUS sedang berjalan dan besar kemungkinan akan dimuktamadkan dalam tahun 2025,” katanya.

Rafizi berkata begitu kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Libat Urus Pelaksanaan CCUS dengan kerajaan negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Ahad.

CCUS merupakan antara projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan, ia merupakan industri berimpak tinggi dan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri yang terlibat.

Setakat ini menurut Rafizi, Kerajaan Persekutuan mengenal pasti empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak yang berpotensi menjadi peneraju dalam industri itu.

Ia berikutan kesemua negeri berkenaan mempunyai telaga minyak yang sudah tidak digunakan dan turut memiliki fasiliti terminal sedia ada bagi menjalankan aktiviti CCUS.

BACA LAGI: Golongan muda, syarikat tempatan digalakkan menceburi sektor tenaga boleh baharu

“Terengganu berpotensi tinggi kerana sudah mempunyai fasiliti diperlukan untuk sektor baharu tersebut iaitu telaga-telaga minyak yang telah kosong di luar pesisir pantai serta terminal penapisan milik Petronas di Kertih, Kemaman.

“Kita melihat potensi untuk ia dikembangkan melebihi industri berasaskan petrokimia dan minyak sedia ada.

“Jadi, itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan yang (membawa) kesan limpahan ekonomi kepada Terengganu jika kita berjaya menyusun dengan baik,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button