Semasa

Tiada arahan dikeluarkan untuk sekat akaun Tik Tok Sanusi, tegas SKMM

Tiada apa-apa arahan diberikan kerajaan bagi menyekat akaun media sosial milik pemimpin pembangkang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kenyataan itu susulan kontrovesi baharu dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa akaun TikToknya disekat kononnya bertujuan menyekat ‘kemaraannya’.

Tegas SKMM, setiap pengendali media mempunyai garis panduan komuniti sendiri dan pengendali mempunyai hak mereka bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pengguna yang melanggar panduan ditetapkan.

“MCMC mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini.

“Platform-platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Muhammad Sanusi dalam ceramah di Baling yang tular di Media Sosial dilihat cuba menyalahkan kerajaan ekoran sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.

Dia menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Ekoran itu sanusi mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya.

“Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” kata Muhammad Sanusi dalam video yang tular itu.
Untuk rekod, pada November 2022, Tiktok telah memaklumkan ahli atau parti politik yang menggunakan TikTok untuk menyebarkan kandungan yang mengelirukan, maklumat palsu, atau iklan politik, akan dilarang dari platform tersebut.

Ketua Dasar Awam (Malaysia dan Filipina) Tiktok, Kristoffer Rada, dilaporkan berkata, platform tersebut akan melarang penyebaran maklumat palsu yang boleh menyebabkan kerosakan kepada komuniti, termasuk maklumat mengelirukan berkaitan pilihan raya dan proses sivik yang lain

Related Articles

Back to top button