Semasa

Tingkat kualiti pendidikan Tingkatan 6, kerajaan rancang bina kolej premium untuk pelajar

Kerajaan sedang merangka beberapa inisiatif untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk perancangan membina Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memberi tumpuan kepada pelajar SPTM termasuk dari segi peranan, pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang-bidang lain.

“Dalam konteks kerjasama silang kementerian khususnya KPT itu diharap, meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam khususnya Kolej Tingkatan Enam Premium, yang akan kita laksanakan pada tahun hadapan.

“Mudah-mudahan kerjasama ini kita akan dapat memberi lebih tumpuan dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam,” katanya kepada pemberita.

Fadhlina sebelumnya hadir ke Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif pembinaan kolej itu beliau berkata, ia akan diumumkan selepas proses penyelarasan selesai.

“Buat masa ini, kita dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program ini dapat dilaksanakan untuk pengambilan STPM pada tahun hadapan.

“Insya-ALLAH kita akan perhalusi dan kita akan umumkan apabila semua peringkat penyelarasan selesai,” ujarnya.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI teliti pemberian elaun untuk pelajar Tingkatan Enam

Menyentuh mengenai cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, Fadhlina memaklumkan rancangan itu akan diteruskan termasuk mengangkat idea atau cadangan ini ke peringkat Belanjawan pada tahun ini.

Related Articles

Back to top button