Semasa

Belanjawan 2025: Kerajaan MADANI akan perkukuh dasar pelepasan bankrap

Belanjawan Madani 2025 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan akan memperkukuh lagi Dasar Peluang Kedua di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berbangga dengan prestasi MdI yang lebih proaktif khusus untuk membantu rakyat yang muflis dengan berjaya melebihi sasaran pelepasan bankrap dengan jumlah 142,510 kes.

Peningkatan kes pelepasan yang membanggakan itu jelasnya, bukan sekadar memberi kesan positif kepada individu, tetapi kepada keluarga yang kini boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Seramai 140,000 orang yang memang muflis, yang akan muflis, berterusan tidak ada upaya membayar (hutang) RM50,000, atau RM100,000.

“Tapi kerana keputusan Kerajaan meminda undang-undang (Akta Insolvensi 2023), beri ruang kepada jabatan untuk teliti semula, dan disusuli dengan tindakan yang lebih cekap daripada kalangan penjawat awam, khususnya di jabatan ini, kita lepaskan mereka (kes muflis).

“Dengan (tindakan) satu jabatan sahaja, lebih 140,000 keluarga merasa lega dan dapat hadapi hidup dengan baik. Kemudian, kalau lepaskan saja, tak ada program susulan, dia (penghutang) mungkin akan terus terhambat. Sebab itu disebut Dasar Peluang Kedua, kita anjurkan, supaya ada langkah yang harus diketahui mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Insolvensi di Putrajaya pada Khamis.

BACA LAGI: Kerajaan peruntuk RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Ketua Pengarah Insolvensi, M Bakri Abd Majid.

Sementara itu Anwar menegaskan harapannya agar golongan yang telah berjaya mendapat peluang kedua itu tidak mengulangi kesilapan yang lalu, dan perlu melihat peluang yang disediakan bagi memperbaiki taraf kehidupan Mereka dan keluarga.

Related Articles

Back to top button