Semasa

Timbalan Menteri PETRA arah SPAN ambil langkah mitigasi hadapi musim kering

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah diberi arahan melaksana langkah-langkah mitigasi sekiranya keadaan cuaca panas dan kering berlarutan

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dalam memastikan kapasiti air empangan berada dalam keadaan baik, pihaknya mencadangkan penyusunan semula pengoperasian bekalan air semula dapat dibekalkan kepada kawasan terjejas.

Selain itu turut dicadangkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bergantung kepada situasi dan perbincangan dengan kementerian yang lain.

“Bila berlaku jangkaan dari segi musim kemarau dan sebagainya, pihak SPAN akan berurusan dengan pihak operator air bagi memastikan pengurusan air itu lebih efisyen.

“Cuma apabila mahu melakukan pembenihan awan, ia akan membabitkan agensi lain.

“Oleh itu kita akan panjangkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan dan perkara itu tertakluk kepada situasi dan juga perbincangan dengan kementerian yang lain,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kampung Melayu Majidee, di Johor Bahru pada Ahad.

BACA LAGI: Kerajaan komited selesai masalah air termasuk di negeri pembangkang

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Malaysia akan berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.

Situasi itu yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah itu berlaku berikutan negara berada dalam musim Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu.

“Dalam keadaan kita menghadapi pemanasan global dan sebagainya, ini adalah kesan yang memang semakin mencabar kepada sektor air terutamanya bila keadaan itu bertambah ekstrem yang berpanjangan.

“SPAN akan sentiasa berhubung dengan pihak operator air untuk melihat langkah-langkah mitigasi dan terbuka berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi mengatasi isu ini,” tambah Akmal.

Related Articles

Back to top button