Semasa

Kerajaan perlu ambil langkah tak popular, urus ‘masalah’ di media sosial

Usaha menangani lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial memerlukan kerajaan memperkenal lebih banyak peraturan termasuk yang tidak popular.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berdepan sikap pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mengekspresikan pandangan tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat dengan alasan kebebasan bersuara.

“Mereka mengabaikan hakikat bahawa ada wanita mengambil keputusan, terpaksa atau terdesak untuk melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan sesuatu pencabulan,” katanya pada ucapan di majlis Perasmian Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Ipoh pada Isnin

WCIT 2024 dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dihadiri lebih 1,000 hadirian terdiri ulama, pemimpin, intelektual dan profesional dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Baru-baru ini seorang pempengaruh media sosial dan aktivis, Rajeswary Appahu, 29, atau Esha ditemui mati pada 5 Julai lalu dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapi berikutan menjadi mangsa buli siber.

Sehari sebelumnya mendiang ada membuat laporan polis terhadap ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di media sosial.

BACA LAGI: Jangan jadikan media sosial sebagai platform berbalah – Agong

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Ahad memaklumkan, perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu yang akan dikuat kuasa 1 Januari depan itu selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia sekaligus mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman lebih baik untuk pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

Related Articles

Back to top button