Semasa

Pindaan Akta Perubatan perbetul ketidakaturan latihan kepakaran- KP Kesihatan

Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) merupakan langkah penting membetulkan ketidakaturan dan menyelesaikan kekeliruan yang timbul daripada Pindaan 2012, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dr Muhammad Radzi melalui satu kenyataan pada Isnin berkata, pindaan itu juga sekaligus akan meningkatkan tadbir urus dalam latihan kepakaran perubatan.

“Sebagai Ketua Pengarah Kesihatan dan Presiden Majlis Perubatan Malaysia, saya menyambut baik pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 [Akta 50] yang diluluskan oleh Dewan Negara pada hari ini.

“Pindaan ini diharapkan akan menghasilkan natijah penjagaan kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti latihan untuk profesional perubatan, yang akhirnya akan lebih menjamin keselamatan pesakit.

“Saya amat berharap agar profesion perubatan akan bergerak maju ke arah membina lembaran baru bagi yang mana semua pihak bekerjasama untuk memenuhi keperluan mendesak untuk pakar tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan terhadap 12 peruntukan dalam Akta Perubatan 1971, yang dirangka sebagai ‘penyelesaian’ untuk pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar, termasuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran pascasiswazah terpilih di luar negara.

BACA LAGI: MAA sambut baik pindaan Akta Perubatan, sifatkan permulaan baharu bab kesihatan negara

Melaluinya, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) diberi kuasa dan tanggungjawab memastikan pindaan itu dapat berjalan dengan lancar.

“Pindaan ini juga memberi gambaran jelas mengenai keperluan yang perlu dipenuhi untuk dimasukkan ke dalam Daftar Pakar dan kemasukan pengalaman kerja pasca kelayakan (PQWE) serta kompetensi dalam Seksyen 14B Akta ini.

“Ia mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap MMC dan komitmen kami untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam latihan dan perkhidmatan kepakaran,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button