Anwar

Kerajaan pertahan kedaulatan negara, tidak layan sebarang tuntutan termasuk di Sabah – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempertahankan setiap inci kedaulatan negara dan tidak sesekali bertolak ansur terhadap sebarang tuntutan, termasuk yang berkaitan Sabah.

“Tuntutan Filipina terhadap Sabah.. kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur satu inci tanah rakyat kita, tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan yang melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya.

Anwar berkata, walaupun ada tuntutan Filipina terhadap Sabah namun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara itu amat baik, termasuk hubungan peribadi beliau dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr yang berada pada tahap yang sangat rapat dan akrab.

“Oleh itu jalur ini harus dimanfaatkan untuk menjaga keselamatan. Pasukan kita harus mengerti sejarah telah membuktikan bahawa serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lepas berlaku dalam keadaan tidak diduga,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas, mengelirukan serta mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia dan semalam Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan pendirian kerajaan bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia.

Menurut kenyataan itu Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Related Articles

Back to top button