Semasa

PMO bidas Meta, sekali lagi padam gambar pertemuan Anwar dan Haniyeh

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang sekali lagi menurunkan hantaran gambar perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada aplikasi Instagram.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui satu kenyataan menegaskan, tindakan Meta ternyata memperlihatkan sikap diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

“Sehubungan itu pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, hantaran tersebut diturunkan sehari sebelum ketua sayap politik Hamas Ismail Haniyeh dilapor terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran semalam.

Hantaran serupa pernah dipadamkan Meta beberapa hari selepas Anwar memuat naik gambar pertemuan itu pada Mei lalu.

BACA LAGI: Pembunuhan Haniyeh, satu tindakan pengecut

Pada pertemuan itu Anwar telah menyatakan komitmen Malaysia memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

Dalam masa sama, Anwar berkata Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Setelah tindakannya itu dikecam. Meta kemudian telah memuatnaik semula hantaran tersebut di media sosial.

Related Articles

Back to top button