Politik

Sanusi tak layak jadi MB, gagal tunjuk tauladan hormati institusi diraja

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak layak untuk terus menjadi Menteri Besar.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa isu berkaitan Muhammad Sanusi yang didakwa menghina institusi diraja masih belum selesai menunjukkan seriusnya perbuatan pemimpin Pas itu.

Tambahnya, sebagai seorang pemimpin, Sanusi telah gagal menunjukkan teladan supaya rakyat terus menjunjung dan menghormati institusi diraja yang menjadi tonggak kepada negara ini.

“Bagi saya Muhammad Sanusi tidak layak jadi Menteri Besar atau pemimpin politik dan eloklah beliau bersara kerana sebagai pemimpin, seharusnya seseorang individu itu perlu sentiasa seiring dengan Sultan mana-mana negeri sekali pun,” katanya.

Faiz sebelumnya ditemui pada Program Ramah Mesar Madani, Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota di Kuala Kedah pada Isnin.

Sementara itu dakwa Muhammad Faiz, tindakan Muhammad Sanusi yang memperlekeh institusi diraja bukan pertama kali berlaku.

Muhammad Sanusi juga pernah mengeluarkan kenyataan seakan menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikaikan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang kononnya tidak dititahkan baginda dalam satu siri ceramahnya sebelum ini.

“Itu pun satu penghinaan kepada Agong kerana kita semua tahu bahawa Seri Paduka Baginda sendiri titahkan agar diwujudkan Kerajaan Persekutuan. Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Jadi apabila Muhammad Sanusi dakwa tak ada bukti Agong bertitah demikian, beliau sebenarnya sekali lagi telah menghina institusi diraja,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan Muhammad Sanusi agar tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain kerana kononnya mempolitikkan hal tersebut sedangkan beliau sendiri sering membuat kenyataan-kenyataan melampau.

“Beliau sering ‘spin’ fakta terutamanya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan. Sekarang bukan rakyat yang ‘spin’ kerana istana yang keluarkan kenyataan bahawa perkara ini belum selesai.

“Pohon maaf bukan satu penyelesaian dan tindakan sedemikian tidak akan mendidik rakyat untuk mematuhi undang-undang.

“Di mahkamah nanti, beliau ada hak untuk mempertahankan dirinya tetapi jika siasatan menunjukkan terdapat prima facie, perlu ada pendakwaan dijalankan sebagai satu bentuk pengajaran terhadap beliau,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button