ekonomi

PM Anwar mahu Malaysia tingkat keupayaan dalam industri semikonduktor global

Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam meningkatkan industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar utama semikonduktor dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sektor tersebut merupakan industri penting kepada negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi sejak ia mula diperkenal pada era 70-an.

“Saya percaya semua pihak berkongsi pandangan sama di mana kita tidak boleh meletakkan sasaran menjadi pemain industri yang berjaya dalam teknologi baharu jika kita masih bekerja pada tahap sama.

“Terdapat beberapa cabaran lain, tetapi saya yakin kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk sentiasa bekerjasama bersama pelabur dalam memastikan negara ini sentiasa menarik buat pelabur,” katanya.

Perdana Menteri berkata begitu pada ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (Kulim) pada Khamis.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG, Jochen Hanebeck.

Terdahulu, Syarikat semikonduktor global berpangkalan di Jerman itu mengumumkan pelaburan tambahan €5 bilion (~RM 24.5 bilion) pada fasiliti mereka di Kulim dengan membangunkan fasiliti fasa ketiga Kulim 3 yang akan menjadi fasiliti pengeluaran silikon karbid 200-mm terbesar di dunia.

Pada ucapannya, Perdana Menteri turut berkata, kemudahan baharu yang akan dibangunkan itu akan meningkatkan imej Malaysia di peringkat global dalam menarik lebih banyak pelaburan bertaraf dunia.

BACA LAGI: Malaysia mampu jadi kuasa besar semikonduktor serantau

“Projek luar biasa Infineon ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang semakin meningkat dan ini menjadi daya tarikan utama pelabur ke negara ini.

“Ini juga akan menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri lain termasuk dalam bidang pembuatan kereta elektrik, bateri dan tenaga boleh diperbaharui,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button