Semasa

Fahmi kecewa pengendali platform tak serius halang kanak-kanak daftar media sosial

Kerajaan sedang mencari jalan yang lebih efektif menerusi peraturan baharu media sosial untuk menghalang kanak-kanak daripada mendaftar di mana-mana platform media sosial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pengendali platform media sosial dilihat tidak serius dalam usaha menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada memiliki dan menggunakan akaun media sosial media walaupun secara umumnya peraturan menetapkannya begitu.

Justeru satu garis panduan tatalaku akan diwujudkan bagi kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan platform media sosial dan ia dijangka selesai Disember ini.

“Mungkin ada beberapa perkara yang kita akan tegaskan tentang bagaimana nak mengelakkan kanak-kanak daripada mendaftar akaun media sosial.

“Kita tahu kadang-kadang mungkin ada kanak-kanak yang akan menggunakan pelbagai cara untuk memiliki akaun, sama ada meminta kawan yang berusia lebih tua untuk membuka akaun atau pelbagai cara lain.

“Kami juga tidak mahu penjenayah terutamanya penjenayah seksual kanak-kanak menyalahgunakan platform media sosial. Kami mahu aktiviti pedofilia yang menggunakan akaun palsu dapat dihentikan,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Lembah Pantai pada Sabtu.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap bagi kerajaan turut menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan berhubung anak-anak mereka.

BACA LAGI: Perkhidmatan media sosial, pesanan internet perlu lesen berkuatkuasa 2025

Tegasnya, ibu bapa perlu memastikan ibu bapa tidak mendedahkan maklumat peribadi anak-anak di media sosial.

“Contoh, jangan sebar anak ke sekolah mana, jadualnya bagaimana. Kita tidak mahu penjenayah mendapat akses kepada maklumat seperti itu dan salah gunakan. Data peribadi tolong jaga,”katanya lagi.

Related Articles

Back to top button