Global

Malaysia, Iran sokong usaha gencatan senjata di Gaza dipelopori negara penting

Malaysia tegas menyokong sebarang usaha merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi perbincangannya dengan Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim menerusi panggilan telefon pada Isnin.

Kesemua mereka bersetuju dengan usaha tersebut sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.

“Ini termasuk cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya, supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.

“Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal,” kongsinya di Facebook hari ini.

Anwar menambah bahawa beliau, Dr Masoud dan Dr Basem berkongsi pendirian sama, iaitu usaha mewujudkan perdamaian perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Related Articles

Back to top button