Bukit Dinding: dalam proses diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) – NRES
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRES) menyambut baik cadangan agar Bukit Dinding yang merupakan batuan tertua di Kuala Lumpur dijadikan geotapak.
Bagaimanapun menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebarang usaha ke arah itu perlu mengambil kira faktor teknikal dan saintifik termasuk dipastikan kawasan itu mempunyai warisan geologi yang signifikan, bernilai saintifik serta keunikan tersendiri.
“Kementerian menyambut baik cadangan untuk menjadikan Bukit Dinding sebagai geotapak, namun ia perlu mengambil kira faktor dan aspek teknikal serta saintifik yang mendukung terhadap cadangan itu.
“Selain menjadikan geotapak, pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk melindungi warisan geologi di sesuatu kawasan itu antaranya lokasi singkapan batuan terbaik yang telah dikenal pasti direkodkan sebagai lokasi rujukan dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan kawasan terbentuk daripada syis kuarza-mika dan syis berkarbon itu dianggarkan berusia sekitar 479 juta tahun, melangkaui usia formasi batu kapur dan Syis Hawthornden.
Berbeza dengan kawasan batu kapur yang lebih muda di sekitarnya, Bukit Dinding terdiri daripada batuan metamorf yang terbentuk akibat tekanan dan suhu tinggi dalam tempoh masa yang sangat lama.
Proses ini menghasilkan lapisan-lapisan mineral seperti kuarza, mika, dan feldspar yang tersusun dalam corak berlapis atau ‘foliasi’.
Kajian yang dilakukan Prof Madya Dr Mustafa Kamal Abdul Aziz sebelum ini mencadangkan supaya Bukit Dinding dijadikan geotapak sebagai usaha melestari khazanah ekologi keseluruhan yang masih ada di kawasan hijau itu.
BACA LAGI: NRES kaji usaha pulihara hutan terputus koridor hidupan liar
Sementara itu menurut Nik Nazmi, pihaknya sedang berusaha untuk mewartakan kawasan Bukit Dinding sebagai hutan simpanan kekal (HSK) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] untuk memastikan kawasan tersebut dikekalkan sebagai kawasan hijau selain berfungsi sebagai ‘green lung’ bagi kawasan sekitarnya.
“Kawasan Bukit Dinding yang diwartakan sebagai HSK kelak akan dikelaskan sebagai hutan terbuka untuk tujuan rekreasi dan lipur bagi memastikan aktiviti rekreasi yang dijalankan di kawasan tersebut pada masa ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat dan orang awam,” katanya.