Semasa

Menteri beri amaran, KDN tak kompromi salah laku babit kakitangan agensi dibawahnya

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia mengambil langkah perlu bagi membendung salah laku yang boleh merosakkan imej kementerian.

Menterinya, Datuk Seri Saiafuddin Nasution Ismail sebagai mengulas saranan Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 baru-baru ini berkata, antara boleh dilakukan adalah dengan melaksana pusingan kerja lebih kerap dalam agensi-agensinya.

“Kami akan menilai lagi dari aspek penempatan, seperti yang ditekankan Perdana Menteri (Anwar) bagi mengelakkan bahagian tertentu berada terlalu lama di satu tempat (yang boleh mengundang kepada pelanggaran integriti). Ini kita akan buat tanpa prejudis.

“Malah, sejurus selepas Perdana Menteri berucap, saya menghubungi KSU (Ketua Setiausaha) Datuk Ruji Ubi untuk lihat agensi mana di bawah KDN yang boleh melaksanakan pusingan kerja (job rotation), dan kami akan segerakan,” katanya pada sidang media

Beliau berkata begitu selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Bulan Kebangsaan di Putrajaya pada Khamis.

Sementara itu jelasnya, KDN tidak akan berkompromi dengan perbuatan salah laku seumpama itu dan akan berusaha untuk membanteras secara berterusan.

Memberi contoh kes penahanan lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Yang paling penting, KDN mengamalkan prinsip tanpa kompromi terhadap pelanggaran integriti kerana ia nampak sangat buruk, lebih-lebih lagi soal integriti, kerap ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

BACA LAGI: KDN bangunkan Pelan Induk kukuh kawalan keselamatan di sempadan negara

Media sebelum ini melaporkan mengenai pembongkaran sindiket membawa masuk pekerja asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa, yang dipercayai didalangi beberapa individu dari agensi penguat kuasa.

Seramai 12 individu ditahan menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Individu yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing, serta lima penguat kuasa yang bertugas di KLIA Terminal 2.

Related Articles

Back to top button