Henti sikap suka beri gelaran buruk kepada pihak lain – bekas Mufti
Bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menasihati semua pihak yang gemar menggelar individu tertentu dengan panggilan buruk kerana berbeza fahaman politik supaya segera menghentikan perbuatan itu.
Dipetik laporan media Dr Wan Salim berkata, beliau bimbang perbuatan tidak wajar itu terutama kepada sesama Islam akan menjadi ikutan masyarakat.
“Tidak wajarlah digunakan gelaran yang tak baik terutama sekali yang mengeluarkan orang Islam itu dari agamanya.
“Fenomena takfiri yang maknanya mengkafirkan sesama Islam adalah tidak digalakkan dalam Islam malah haram dan dilarang agama kita.
“Berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, kalau seorang Muslim kafirkan saudaranya, sama ada saudara itu betul kafir atau saudara itu tak kafir, kekufuran itu kembali kepada yang menuduhnya. Itu masalahnya.
“Elakkanlah tuduh-menuduh, gelaran tidak sepatutnya seperti dajjal, mengkafirkan atau sebagainya. Sebab dajjal ini makhluk paling keji dalam Islam,” katanya dipetik.
BACA LAGI: Umat Islam Malaysia diseru bersikap lita’aruf termasuk kepada bukan Islam
Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui satu hantaran di laman Facebooknya minggu lalu sekali lagi dikritik.
Bekas duta khas bertaraf menteri itu menuduh UMNO – bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan – “membeli rakyat dengan wang dan kebendaan” untuk mengawal negara yang menurutnya lebih daripada senjata dan cara dajjal.