Semasa

KKR akan rancang langkah mitigasi tangani risiko tanah jerlus di Kuala Lumpur

Kerajaan sedang merancang langkah-langkah mitigasi menangani risiko insiden tanah jerlus susulan kejadian yang menimpa seorang pelancong warga India baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu telah dibawa untuk perhatian Kabinet dan langkah-langkah segera akan dilaksana untuk mengenal pasti kawasan berisiko.

“Perkara ini juga dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini supaya untuk ke hadapan kerajaan akan fokus bagaimana hendak mengatasi atau mengelakkan kejadian itu.

“Setakat ini kita belum kenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko berlaku lubang benam. tetapi memang ada usaha mengenal pasti kawasan berisiko itu sebagaimana kita kenal pasti lokasi cerun yang berisiko,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 1 di Banting pada Jumaat.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

BACA LAGI: Kerajaan pastikan pembangunan di Kuala Lumpur lebih teratur, selamat di masa depan

Susulan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengkaji tahap keselamatan struktur tanah di sekitar Kuala Lumpur.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, proses pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembangunan di Kuala Lumpur akan diperketat pada masa depan untuk memastikan pembangunan lebih teratur dan berkesan sekaligus mengelak insiden sama berulang.

Related Articles

Back to top button