Tanah jerlus: India nyata penghargaan atas kesungguhan pasukan SAR Malaysia – Menteri
India menghargai usaha Malaysia dalam mencari dan menyelamat (SAR) seorang rakyatnya yang terjatuh dalam lubang tanah jerlus di Kuala Lumpur sepuluh hari lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam sesi pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy, sebelum ini.
“Perkara itu telah dibincang dengan Kedutaan India terlebih dahulu dan mereka memberi penghargaan atas usaha yang dilakukan sejak hari pertama.
“Beliau melihat kesungguhan yang ditunjukkan pasukan yang terlibat dalam SAR dan beliau memahami jika kita perlu mengambil keputusan untuk menghentikan operasi ,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian, pada Sabtu.
Pada sidang media itu Dr Zaliha mengumumkan operasi SAR dihentikan serta merta bagi mengelak sebarang risiko kepada pasukan penyelamat.
Susulan itu operasi di kawasan itu kini memasuki fasa ‘Search and Recovery” yang akan diselia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu Dr Zaliha turut memberitahu, keputusan untuk menamatkan pencarian itu sudah disampaikan kepada keluarga mangsa dan mereka menerima keputusan tersebut.
“Awalnya memang nampak mereka susah nak terima, tetapi apabila pihak kita sentiasa berhubung dengan mereka, nampaknya mereka mula menerima dan bersetuju juga jika kita terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan pencarian,” katanya lagi.
BACA LAGI: Kerajaan pastikan pembangunan di Kuala Lumpur lebih teratur, selamat di masa depan
Pada 23 Ogos lalu, Vijaya Lakshmi Gali, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India.
Kejadian berlaku semasa dia melalui jalan itu untuk ke kuil.