Global

Bertemu Putin, PM Anwar nyata komitmen tingkat kerjasama dengan Rusia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen Malaysia untuk mempertingkatkan kerjasama dengan Rusia dalam semua bidang. 

Perkara itu dinyatakan semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Vladivostok pada Selasa.

“Saya pastinya berharap untuk mempunyai hubungan yang lebih baik, kerjasama peribadi dan kerajaan, semua bidang (dengan Rusia),” kata Anwar semasa pertemuan dua hala bersempena dengan lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF).

Pada pertemuan dua hala itu,  Anwar telah mengakui potensi besar Rusia dan sebagai negara terbesar dunia yang telah menunjukkan keazaman untuk menghadapi pelbagai kesukaran dan mengatasinya.

Beliau turut memberi jaminan kepada Putin bahawa, sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, beliau akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama kumpulan serantau itu dengan Rusia dalam semua bidang.

“Seperti yang anda tahu, ASEAN sentiasa menjalin hubungan dengan Rusia dan kami mempunyai perdagangan terbuka yang memfokuskan kepada semikonduktor atau dalam beberapa bidang berkaitan.

“Tentu sekali, kami di ASEAN menantikan penyertaan anda (pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025),” tambahnya.

Dalam pada itu Anwar mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada Putin secara peribadi, kerana bertemu dengannya walaupun mempunyai jadual yang padat.

“Kami, tentunya berharap untuk mempunyai program susulan yang efektif supaya perbincangan (hari ini) tidak berakhir di sini. Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda dan pasukan anda,” katanya.

BACA LAGI: Brazil undang PM Anwar hadiri Sidang Kemuncak G20

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Rusia, dan pertemuan pertamanya dengan presiden negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Hari ini beliau dijadualkan memberi ucapan pada sidang pleno forum berkenaan. 

Related Articles

Back to top button