Semasa

KKM tak bercadang laksana PKP bendung Mpox

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat melaksanakan sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan cacar monyet (Mpox).

Pendirian itu dinyatakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan mengambil kira tiada jangkitan Mpox direkodkan selepas menjalankan saringan ke atas 6.2 juta pengembara di semua pintu masuk negara, setakat ini.

“Kita sudah keluar daripada (fasa) pandemik COVID-19, tetapi saya diterjah dengan kemungkinan (jangkitan) Mpox. Saya kerap diasak supaya meningkatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Insya-Allah, Mpox tidaklah akan mengulangi waktu seperti PKP. Namun, saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu kaedah jangkitannya.

“Sehingga hari ini, Alhamdulillah kita masih belum merekodkan sebarang jangkitan daripada varian terkini Mpox, kecuali sembilan kes dalam varian lama, setakat November lalu,” katanya melalui ucapan perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan KKM Sungai Buloh pada Selasa.

Turut hadir pada acara itu adalah Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin dan Pengarah ILKKM Sungai Buloh, Robert Wong Kim Han.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global

Penyakit itu merebak sebahagian besarnya melalui hubungan fizikal yang rapat berbanding COVID-19 yang merebak melalui bawaan udara.

Antara gejala jangkitan mpox ialah pembetukan ruam dan lepuh pada kulit disertai oleh demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, lemah badan dan pembengkakan nodus limfa.

BACA LAGI: Pintu masuk utama negara diberi perhatian khusus, bendung penularan Mpox

Sementara itu, Dr Dzulkefly pada sidang media berkata, kesiapsiagaan KKM membendung penularan Mpox berada di tahap terbaik.

Pihak kementerian ketika ini sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan golongan rentan akan diletakkan dalam senarai penerima utama.

Related Articles

Back to top button