Semasa

Takaful Tanaman Padi dilancarkan sebagai usaha kerajaan lindungi pesawah

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Sabtu melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

Skim pertama seumpamanya di Malaysia itu digerakkan melalui Agrobank dan akan memberi manfaat kepada pesawah seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan yang dipetik media berkata perlindungan takaful itu menawarkan hingga RM3,000 untuk bencana alam.

“Bagi serangga perosak dan penyakit tanaman pula, perlindungan hingga RM1,500 daripada jumlah perlindungan asal semusim per hektar bagi setiap pesawah. Ia jumlah yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada,” katanya.

Skim patuh syariah itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Insiatif itu merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2024, dengan dana permulaan RM50 juta.

Sementara itu Tengku Ahmad Badli Shah melalui kenyataan sama menyifatkan skim tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah seluruh negara ketika menghadapi bencana alam di samping memperkukuh rantaian makanan negara melalui inisiatif dilancarkan KPKM melalui Agrobank.

BACA LAGI: PM Anwar umum bayaran khas untuk Sabah, Sarawak naik sekali ganda

Bagi tahun pertama pengenalannya, kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran premium RM120 setahun bagi setiap hektar untuk dua musim penanaman.

Skim terbabit terbuka kepada semua pesawah individu di seluruh negara, dengan kaedah pendaftaran dipermudah di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan berhampiran.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Skim Takaful Tanaman Padi, layari www.agrobank.com.my atau berkunjung ke cawangan Agrobank berdekatan.

Related Articles

Back to top button