ekonomi

Ekonomi terus cemerlang, Malaysia dahului pencapaian SDG dunia

Malaysia mencapai kedudukan yang baik dalam petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila mendahului pencapaian dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan analisis 248 petunjuk SDG, pencapaian Malaysia berada pada kedudukan sekitar 43 peratus berbanding pencapaian dunia yang berada pada tahap purata 17 peratus.

“Kita bersyukur, Alhamdulillah daripada 248 petunjuk SDG, pencapaian Malaysia berada dalam kedudukan yang baik 43 peratus berbanding pencapaian dunia purata 17 peratus,” katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Anwar sementara itu menegaskan, pencapaian itu menunjukkan agenda Madani yang digagaskan Kerajaan Perpaduan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun, negara perlu terus meningkatkan lagi usaha bagi mencapai prestasi lebih baik lagi.

“Itu hanya memberi sedikit petanda tetapi apakah tahap pencapaian cita-cita ekonomi Madani dan SDG ini sesuatu yang perlu bagi negara dan manusia?

“Sekiranya jawapannya itu perlu, maka kita harus bergegas dengan upaya lebih untuk mencapai suatu prestasi yang lebih baik.

“Itu bagi saya, tanda aras kita, walaupun kita bangga kerana pencapaian 43 peratus ketimbang 17 peratus yang dicapai secara purata itu sudah satu tahap yang sangat menggalakkan,” tambahnya.

BACA LAGI: Khazanah perlu terus rancakkan ekonomi, kongsi kekayaan dengan rakyat

Sidang Kemuncak SDG 2024 akan menjadi platform bagi pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk berkumpul, berkongsi pandangan dan mengambil langkah substantif ke arah merealisasikan SDG.

Berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 September ini dianjurkan Kementerian Ekonomi bersama bersama Pusat SDG Nasional (PSN) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai rakan strategik.

Related Articles

Back to top button