Semasa

Mpox: KKM tingkat kawalan saringan di pintu sempadan negara

Kawalan saringan setiap individu di semua pintu masuk sempadan negara dipertingkat bagi mengekang penularan Mpox atau cacar monyet.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah tersebut susulan satu kes melibatkan seorang lelaki dikenal pasti dijangkiti  wabak itu baru-baru ini.

“Saringan dilakukan mengikut prosedur termasuk memeriksa suhu badan dan mereka yang disyaki mengalami simptom Mpox akan dibawa untuk menjalani saringan serta pemeriksaan selanjutnya.

“KKM juga turut mengutamakan kesihatan petugas kesihatan dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung vaksin bagi mengekang jangkitan itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau sebelumnya hadir ke Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.

Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.

BACA LAGI: KKM tak bercadang laksana PKP bendung Mpox

Kementerian Kesihatan pada minggu lalu mengesahkan satu kes positif Mpox dalam varian Clade II (dua) membabitkan seorang lelaki tempatan.

Susulan itu menurut Lukanisman, KKM telah memberi garis panduan cara Mpox boleh menjangkiti kumpulan berisiko jika ada simptom.

Bagaimanapun beliau menggesa masyarakat agar berwaspada memandangkan mpox datang dari luar negara akibat aktiviti berisiko atau bersosial dengan kumpulan melakukan aktiviti kurang sihat atau mereka yang sudah dijangkiti.

Related Articles

Back to top button