Uncategorized

Sekolah terjejas banjir teruskan pembelajaran guna kaedah PdPR – KPM

Institut pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara PPS akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Perkara itu dinyatakan KPM melalui satu kenyataan pada Ahad susulan kenyataan Perdana Menteri agar mempertimbang kelonggaran sesi pembelajaran kepada sekolah terlibat banjir di Kedah.

“Pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada mereka yang terjejas sama ada melibatkan semua murid untuk berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu akan melaksanakan PdPR.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic SupportTeam (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran,” kata kementerian itu.

BACA LAGI: Kerajaan Persekutuan salur bantuan untuk sekolah terjejas banjir di Kedah

Semasa mengadakan lawatan bagi meninjau situasi banjir di Kedah pada Sabtu Perdana Menteri menegaskan, kelonggaran bukan untuk masa belajar dijadikan cuti sepenuhnya.

Sebaliknya beliau mahu guru-guru menetapkan kerja rumah untuk pelajar untuk disiapkan sebelum mereka kembali ke sesi persekolahan selepas keadaan pulih.

Manakala bagi pelajar tingkatan lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka dikehendaki kekal menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu KPM dalam kenyataan sama menegaskan pihaknya sentiasa memantau situasi banjir untuk memastikan keselamatan warganya.

Related Articles

Back to top button